Assalammualaikum wbt.
Kehadapan saudara Adam... Semoga sentiasa berada di bawah lindungan Allah selalu hendaknya. Maaf seandainya warkah ini mengganggu situasi nta.
Buat kesekelian kalinya ana mencoret warkah ini adalah untuk memperhalusi lagi duduk letak perkara yang pernah kita bincangkan sebelum ini. Bercerita tentang kita, mungkin belum terlambat untuk kita pulang kepada prinsip masing-masing. Prinsip yang berlandaskan al-Quran dan as-sunnah InsyaAllah. Dengan keputusan yang telah kita persetujui bersama, ana harap selepas ini, tidak lagi kita ulang kesilapan yang lama. Jika nta masih ingat, kita pernah sebulat suara sama-sama setuju untuk memperbetulkan hal ni namun disebabkan oleh kelalaian dan kealpaan kita yang bergelar insan ini, kita mudah terjebak semula ke lembah yang tidak diizinkan-Nya. Ana futur. Astaghfirullahalazim..
Kini, setelah perkara ini dibangkitkan semula ana harap kita tidak balik kepada jahiliyah setelah datangnya petujuk pada diri kita. Amat rugi sekiranya kita menolak hidayah Allah. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 145 bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datang ilmu kepada kamu (keterangan-keterangan), sesungguhnya kalau demikian termasuk golongan orang-orang zalim." Bersyukur Allah masih memberi ruang kepada kita untuk pulang ke jalan-Nya. Jalan yang dipenuhi dengan orang-orang soleh yang diredhai-Nya.
Terlalu banyak tanggungjawab yang perlu dipikul. Jalan dakwah yang kita tempuhi sentiasa berliku. Sarat dengan mehnah dan tribulasi. Perjalanan kita masih jauh. Cita-cita perlu digapai. Harapan bonda dan ayahanda jangan dipersia. Kita tak nampak apa yang ada di hadapan. Ajal maut datang tanpa diundang. Kini ana bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Ana harap nta begitu juga. Syaitan dan konco-konconya tidak pernah jemu memesongkan hati-hati manusia. Umpama gelas yang kosong, jika tidak diisi dengan air, terdapat molekul-molekul udara di dalamnya. Begitu lah juga dengan diri manusia. Jika tidak diisi dengan iman yang kukuh di dada, banyak anasir asing akan bermukim.
Sejujur ikhlas ana katakan bahawa ana menerima keputusan ini dengan rela hati. Ana yakin nta begitu jua, demi keredhaan Allah yang lagi utama. Sebagai sahabat, ana harap kita dapat saling mengingat antara satu sama lain seandainya salah seorang antara kita seakan mahu kembali ke jalan yang tak sepatutnya. Maaf atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan ana selama ni, yang disedari ataupun tidak. Bersama kita mencari mardhatillah..
Seandainya telah tersemat di azali kita ditakdirkan bersama, InsyaAllah akan tiba saat dan ketikanya nanti. Seandainya sebaliknya, bersamalah kita redha dengan keputusan-Nya. Kerana Allah lebih maha tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Sedang Adam pulang kepangkuan Hawa, hanya matahari dan bulan mustahil disandingkan, cinta Zulaikha jua yang tak kesampaian. Akhir kalam, selamat menyambung semula perjuangan yang masih bersisa. Wassalam..
Hawa,
Mujahidah fi sabilillah,
~Cintaku hanya pada Allah yang satu...
No comments:
Post a Comment